Saturday, 17 October 2015

Usahawan perlulah seorang yang open risk taker. Namun, risiko yang perlu dipilihnya adalah risiko berkadar sederhana. Hal ini bertujuan bagi mengelakkan berlakunya sebarang kerugian yang di luar jangkaan dan mengalami kerugian yang besar. Dalam mengambil risiko, usahawan perlulah menilai dan mengambil risiko dengan bijak dan terancang. Seseorang usahawan yang berjaya perlu bijak menggunakan pengetahuannya bagi menilai dan menangani risiko yang terbabit. Untuk mengurus risiko, usahawan perlu mampu membayangkan setiap kemungkinan hasil sesuatu tindakan atau kegiatan yang ingin diputuskan.

            Tan Sri Syed Mokhtar Al – Bukhari Tan Sri Syed merupakan seorang usahawan yang mengambil risiko secara terbuka. Tan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Beliau tidak pernah belajar sehingga ke peringkat universiti. Kebanyakan ilmunya yang dimiliki oleh beliau diperoleh melalui pengalaman secara langsung apabila beliau bergiat dalam dunia perniagaan sejak kecil lagi. Pelbagai jenis perniagaan telah dijalankan oleh Tan Sri Syed Mokhtar. Beliau berani mengambil risiko dalam setiap bidang perniagaan yang beliau ceburi walaupun seringkali mengalami kegagalan dan kerugian dalam perniagaan tersebut. Antara jenis perniagaan yang pernah diceburi oleh beliau adalah perniagaan menjual daging, pengangkutan, beras, gula, susu, pakaian dan perkapalan.

            Beliau pernah membantu bapanya dalam perniagaan menternak lembu. Namun, wabak penyakit kaki dan mulut pada tahun 1970 telah membinasakan keseluruhan perniagaan lembu mereka. Bapa Tan Sri Syed Mokhtar telah mengambil keputusan untuk tidak lagi menceburi bidang perniagaan itu. Walau bagaimanapun, beliau mengambil risiko dengan mengambil alih perniagaan dan mula semula dengan menjual daging.  Beliau membeli daging yang tidak dijual di sekitar kawasan Alor Setar. Beliau kemudiannya membungkus daging itu dengan ais. Beliau menjual daging yang dibungkus kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Akhirnya beliau berjaya dalam perniagaan itu. Di sinilah kita dapat memlihat Tan Sri Syed Mokhtar adalah seorang usahawan yang berani mengambil risiko.

            Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan. Kemudian, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Tan Sri Syed Mokhtar membuka syarikat pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa. Beliau juga memulakan perniagaan beras. Daripada perniagaan beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu perniagaan gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh beliau. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250 juta.


            Kejayaan Tan Sri Syed Mokhtar adalah disebabkan oleh beliau berani mengambil risiko. Setiap risiko yang dialami akan dinilai dan dianalisis oleh beliau supaya dapat mengurangkan risiko yang mungkin dialami.       Hal ini membolehkan Tan Sri Syed Mokhtar dijadikan teladan yang baik kepada orang ramai. Kejayaan beliau bukannya secara bernasib baik dan sebaliknya kejayaan beliau adalah disebabkan oleh beliau mempunyai ciri open risk taker.
Networked merupakan salah satu ciri yang diperlukan oleh seseorang usahawan dalam mendapatkan maklumat dan menyumberkan maklumat terhadap sesuatu pihak. Setiap usahawan yang mempunyai rangkaian yang baik selalunya akan berjaya dalam bidangnya. Rangkaian perniagaan ataupun rangkaian rakan yang luas amat penting bagi memastikan kita mudah mendapat informasi serta menyampaikan informasi bagi merebut peluang perniagaan dan mengatasi pesaing. Rangkaian juga amat penting bagi memastikan perniagaan yang dijalankan oleh usahawan berkembang dengan lebih pesat di dalam dan luar negara.

            Datuk Steven Sim (pengasas Secret Recipe) mempunyai rangkaian yang luas. Datuk Steven Sim merupakan anak kelahiran Kota Baharu, Kelantan. Beliau telah memulakan perniagaan premis pertama Secret Recipe di SS2 Petaling Jaya. Oleh kerana tidak mencukupi modal untuk mengiklankan tentang outlet pertama, Steven melakukan pemasaran sendiri dengan menawarkan kopi percuma. Secret Recipe pada mulanya tidak dikenali ramai. Setelah beliau menyertai pertandingan kek keju tahunan dengan menyediakan kek keju biasa dan tidak menaruh harapan untuk menang, beliau akhirnya memenangi Grand Champion. Steven telah mengambil keputusan untuk menfrancaiskan jenama Secret Recipe apabila melihat perkembangan Secret Recipe yang memberangsangkan. Bermula dengan saudara mara dan rakan-rakan rapat, rangkaian Steven yang luas talah membolehkan beliau menyerahkan kepercayaan kepada peniaga yang memenuhi kriteria untuk menyertai francais Secret Recipe. Secret Recipe yang dimiliki oleh Steven mempunyai sebanyak  200 outlet di seluruh negara. Dia yang masih belum berpuas hati mahu mengembangkan jenama makanan Malaysia ke luar negara. Beliau berjaya meluaskan pasarannya ke negara China, Australia, Filipina, Thailand, Brunei dan Indonesia. Kini, dengan rangkaian perniagaan yang luas, maka wujudnya 270 kafe Secret Recipe di lapan buah negara termasuk di Australia dengan lebih 3,500 pekerja.

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!